Cantuman ialah teknik menyatukan bahagian-bahagian tumbuhan supaya ia tumbuh sebagai satu tumbuhan baru.
Bahagian tumbuhan yang menjadi bahagian atas cantuman dinamakan tunas baka dan bahagian yang membentuk bahagian bawah atau akar dinamakan pokok penanti.
Tunas baka boleh terdiri daripada keratan batang atau bahagian kecil batang yang mengandungi satu mata tunas. Pokok penanti biasanya terdiri daripada tumbuhan yang boleh mempunyai sistem akar yang baik.
Langkah-langkah yang perlu dibuat untuk melakukan cantuman mata tunas adalah :
1. Dengan menggunakan pisau, buat kelaran lintang 1/3 daripada lilitan batang. Jarak kelaran dengan permukaan tanah hendakla di antara 12 hingga 15 cm.
2. Membuat kelaran di kiri dan kanan kelaran lintang menghala ke bawah sepanjang 2.5cm. Dengan menggunakan pisau, kopek kulit daripada batang bermula dari kelaran lintang ke bawah. Pokok penanti telah siap untuk dibuat cantuman.
3.Pilih ranting dari pokok baka yang baik dan sihat. Daun-daun yang ada pada ranting hendaklah dipotong dengan berhati-hati supaya tidak mencederakan tunas yang terdapat di antara tangkai daun dengan ranting. Kelar memanjang ke kiri dan kanan tunas lebih kurang 2.5 cm dan juga melintang sepanjang 1.5 cm dikedua-dua hujung bahagian kelaran memanjang.
4. Tanggalkan kulit tunas daripada ranting. Mata tunas dapat dilihat di sebelah dalam kulit tunas dan pastikan tidak cacat atau tertinggal pada kayu ranting.
5. Kulit tunas ditampalkan di bahagian tetingkap yang telah dibuat terlebih dahulu di pokok penanti.
6. Batang pokok penanti dibalut dengan pita cantuman bermula dari bahagian bawah tapak cantuman ke atas. Semasa membalut, pastikan pita cantuman tidak mengenai mata tunas. Matikan ikatan pita cantuman setelah membalut 3cm hingga 4cm di atas daripada mata tunas.
7. Anak pokok diletakkan di bawah lindungan dan disiram 2 kali sehari terutamanya di musim panas. 2 hingga 3 minggu kemudian ikatan pita cantuman hendaklah dibuka.
PROSES-PROSES MELAKUKAN CANTUMAN
Memilih pokok penanti yang mempunyai sistem akar yang baik
Membuat kelaran pada pokok penati dan kulit batang dikopek
Pilih ranting dari pokok baka yang baik dan kelar mata tunas. Seterusnya tanggalkan kulit tunas daripada ranting. Mata tunas dapat dilihat di sebelah dalam kulit tunas dan pastikan yang tunas tidak cacat atau tertinggal pada kayu ranting.
Kulit tunas kemudiannya ditampalkan di bahagian tetingkap yang telah dibuat terlebih awal di pokok penanti. Batang pokok penanti dibalut dan pastikan pita cantuman tidak mengenai mata tunas seperti pada gambar yang dibulatkan di bawah.
Anak pokok diletakkan di bawah lindungan dan disiram 2 kali sehari.
Untuk memastikan kejayaan cantuman, kelarkan sedikit kulit mata tunas. Sekiranya didapati kulit mata tunas berwarna hijau, bererti cantuman mata tunas yang dibuat telah berjaya.